EXCO Kerajaan Negeri, Hee Loy Sian ketika sesi perbahasan Sidang Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 9 November 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Jadi tumpuan, Selangor kaji promosi hutan simpan Kota Damansara

SHAH ALAM, 10 NOV: Kerajaan Negeri sedia mengkaji untuk mempromosikan Hutan Simpan Komuniti Kota Damansara sebagai lokasi tarikan pelancong.

EXCO pelancongan berkata hutan simpan berkenaan menjadi tumpuan awam terutama aktiviti mendaki sejak akhir-akhir ini.

“Selangor memang sudah ada hutan simpan yang menarik dan sedang dipromosikan seperti Hutan Lipur Sungai Congkak dan Hutan Lipur Sungai Kanching.

“Hutan Simpan Komuniti Kota Damasara kini menjadi tumpuan pendaki. Oleh itu, kita sedia mempertimbangkan untuk dipromosi sebagai sektor pelancongan negeri,” kata Hee Loy Sian menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negeri Kota Damansara Shatiri Mansor pada sidang Dewan Negeri Selangor.

Beliau juga memaklumkan Kerajaan Negeri melalui Tourism Selangor mengambil langkah proaktif bagi membangun dan memulihkan semula industri pelancongan ketika pandemik Covid-19.

“Menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi, antara dilakukan Kerajaan Negeri ialah bantuan sekali bayar kepada pemandu pelancong, hos komuniti dan penyelaras inap desa berlesen sebanyak RM1,000.

“Kita turut menganjurkan aktiviti promosi pelancongan norma baharu melalui dalam talian seperti program Selangor E-Travel Fair,” katanya.


Pengarang :