BERITA UTAMASELANGOR

Jangkitan Covid-19 di Selangor kekal tiga digit, catat 141 kes

SHAH ALAM, 18 NOV: Selangor masih merekodkan tiga digit kes baharu Covid-19 apabila mencatatkan 141 kes hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah itu, 139 melibatkan kes penularan tempatan dan dua jangkitan import.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 67 kes direkodkan daripada kluster sedia ada termasuk dua kes daripada kluster baharu iaitu kluster Putra-18.

“Sebanyak 28 lagi kes baharu daripada saringan kontak rapat kes positif dan 44 kes melibatkan saringan Covid-19,” katanya dalam sidang media hari ini.

Sementara itu Jabatan Kesihatan Negeri Selangor menerusi Facebook berkata seramai 254 pesakit berjaya sembuh menjadikan jumlah keseluruhan ialah 6,277 dan jumlah kematian kekal 27.

Hari ini, Malaysia merekodkan penurunan hampir 50 peratus bagi kes baharu iaitu 660 kes berbanding 1,210 kes semalam.


Pengarang :