Peserta membawa dokumen diperlukan ketika mengikuti program Jelajah Selangor Bekerja 2020 di Taman Gombak, Batu Caves pada 21 November 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Jelajah Selangor Bekerja: 40 dapat kerja, 77 hadiri temu duga kedua

SHAH ALAM, 27 NOV: Seramai 40 peserta yang menghadiri temu duga program Jelajah Selangor Bekerja mendapat pekerjaan setakat ini, kata EXCO pembangunan generasi muda.

Mohd Khairuddin Othman berkata 77 peserta lagi bakal menghadiri temu duga kali kedua dan berharap berjaya meyakinkan majikan untuk mengambil mereka bekerja.

“Kita berdoa semoga lebih ramai akan berjaya. Jika diikutkan ramai mahu hadir temu duga tetapi kita terpaksa had bilangan susulan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Sebelum ini, Mohd Khairuddin berkata penganjur hanya memanggil dalam lingkungan 100 orang sahaja hadir temu duga seperti ditetapkan MKN untuk mencegah penularan Covid-19.

Beliau berkata Kerajaan Negeri akan mengemukakan rayuan kepada MKN supaya had peserta program kerjaya dibuat berdasarkan keluasan lokasi penganjuran.

Program Jelajah Selangor Bekerja 2020 anjuran Kerajaan Negeri menerima 9,969 permohonan sejak pendaftaran dibuka pada 15 September.

Lebih 90 syarikat menyertai jelajah di lima lokasi bermula di Kuala Selangor pada 15 November, Gombak (21 November), Sungai Buloh (22 November), Hulu Langat (29 Disember) serta Shah Alam (5 dan 6 Disember).

Antara peluang pekerjaan ditawarkan adalah profesor, pensyarah, tutor al-Quran, akauntan, pengurus jualan, pegawai penyelidik, juruteknik, pembaca meter, operator panggilan, pemandu traktor terminal, penyelia dan penjaga stor.


Pengarang :