Mohd Hilmi Halim, 24, menyemak dokumen peribadinya secara dalam talian ketika menunggu giliran temu duga dalam program Jelajah Selangor Bekerja 2020 di Taman Gombak, Batu Caves pada 21 November 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jelajah Selangor Bekerja bantu penganggur cari peluang sesuai

GOMBAK, 21 NOV: Individu yang ingin mencari pekerjaan sesuai dengan kelayakan boleh memanfaatkan program Jelajah Selangor Bekerja 2020 anjuran Kerajaan Negeri.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri Gombak Setia berkata program itu menyediakan pelbagai peluang pekerjaan khusus membantu golongan terjejas susulan penularan Covid-19.

“Bagi saya program ini menarik kerana ramai yang hilang kerja disebabkan wabak tersebut. Pejabat saya juga didatangi banyak individu untuk memohon bantuan,” kata Abdul Rahim Kasdi selepas meninjau suasana program di Dewan Majlis Perbandaran Selayang Taman Gombak di sini.

Abdul Rahim Kasdi ditemui media selepas meninjau suasana program Jelajah Selangor Bekerja 2020 di Dewan Majlis Perbandaran Selayang Taman Gombak pada 21 November 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Katanya, tatacara operasi piawai (SOP) ketat membataskan peluang ramai individu untuk menyertai jelajah tersebut yang berlangsung sehingga Disember.

Bagaimanapun, Abdul Rahim menegaskan arahan itu perlu dipatuhi bagi mengelakkan kesesakan susulan kebimbangan penularan Covid-19 di negeri ini.

Jelajah anjuran Jawatankuasa Pembangunan Modal Insan kali pertama berlangsung di Stadium Tertutup Kuala Selangor minggu lalu dan diteruskan esok di Dewan Majlis Daerah Kuala Selangor, Saujana Utama.

Lebih 6,000 peluang pekerjaan ditawarkan mengikut kelayakan bermula dari Penilaian Menengah Rendah hingga ijazah doktor falsafah.

Pemohon perlu membuat pendaftaran awal menerusi:

  • http://nfdot.com/ereg/views/jobfair
  • Facebook Pusat Jobs Malaysia Selangor
  • Instagram Jobs Malaysia Selangor
  • 03-5524 7740 dan 03-5523 1309

Pengarang :