Perodua Bezza versi baharu sedan dibuka untuk tempahan. Foto BERNAMA
AGENDAEKONOMINASIONAL

Jualan Perodua 26,852 pada Okt, pencapaian tertinggi

KUALA LUMPUR, 3 NOV: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) mencatatkan rekod pencapaian jualan bulanan tertinggi dengan sebanyak 26,852 kereta terjual pada Oktober, selepas mencatatkan sejarah rekod jualan bulanan sebanyak 25,035 unit kereta pada bulan sebelumnya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata kejayaan tersebut tercapai menerusi tatacara operasi piawai (SOP) baharu yang diikuti oleh Perodua dan rakan niaga – termasuk yang bekerja dari rumah serta ujian mandatori bagi mereka yang berada di zon merah – bersama SOP asal yang diperkenalkan pada Mei.

“Dengan komitmen para pembekal, pengedar-pengedar sah kami dapat menjual lebih banyak kenderaan dan paling penting, memastikan kepuasan pelanggan kami kerana kenderaan Perodua mereka dihantar dalam tempoh yang terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Perodua menjual 8,052 Myvi, 6,738 Axia, 6,895 Bezza, 3,193 Aruz and 1,974 Alza pada Oktober, dan tiga model teratas kekal sebagai kereta paling laris di Malaysia setakat ini.

“Pada September, kami mencapai jualan bulanan tertinggi sepanjang 27 tahun sejarah kami dan kini kami telah mengatasi pencapaian tersebut.

“Kejayaan ini penting buat kami dalam banyak perkara; kerana ia membuktikan komitmen kami terhadap penghantaran secepat mungkin kepada pemilik dan pada masa yang sama memainkan peranan dalam memulihara ekosistem automotif,” katanya.

Zainal Abidin berkata pada Oktober sahaja Perodua membelanjakan sebanyak RM600 juta untuk membeli komponen daripada pembekal tempatan, seterusnya menghasilkan kesan pengganda ekonomi yang besar kepada ekosistem automotif tempatan, yang turut terjejas akibat pandemik.

Beliau berkata ekosistem automotif berkenaan termasuk sektor langsung dan tidak langsung, seperti pembekal komponen automotif, pengedar sah, stokis, agensi dan kontraktor.

“Rakan niaga tidak langsung termasuk institusi kewangan seperti bank dan syarikat insurans.

“Dari segi kapasiti pengeluaran, kami berada di 98 peratus secara purata pada Oktober dengan 26,326 kenderaan – juga merupakan pengeluaran bulanan tertinggi dari kilang kami di Sungai Choh,” katanya.

Sementara itu, sebagai menghargai para pelanggannya, Perodua memperkenalkan penebusan tunai sehingga RM1,500 untuk Perodua Aruz (tertakluk terma dan syarat) sepanjang November, ke atas amaun pengecualian cukai semasa.

Syarikat itu juga menawarkan rebat tunai sehingga RM2,000 untuk kenderaan pra-miliknya sehingga 31 Disember ini.

Tawaran tersebut hanya boleh didapati di pusat jualan Perodua di Kuala Lumpur di Jalan Pahang, Kuala Lumpur.

Sila layari www.perodua.com.my, atau hubungi pusat-pusat jualan Perodua untuk maklumat lanjut.

-BERNAMA

 


Pengarang :