AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jumlah kematian kes denggi Selangor menurun berbanding tahun lalu

SHAH ALAM, 3 NOV: Kes demam denggi di Selangor turun kepada 41,179 kes setakat minggu epid ke-44 berakhir 31 Oktober lalu berbanding 60,993 dalam tempoh sama tahun lalu.

Pengarah Kesihatan negeri Dato’ Dr Sha’ari Ngadiman berkata jumlah itu menunjukkan penurunan 32.5 peratus dengan 184 kawasan wabak dikesan.

“Lokaliti wabak denggi aktif membabitkan 16 kawasan titik panas (hotspot), wabak tidak terkawal (lapan), wabak terkawal (151) dan wabak baharu (sembilan).

“Sebanyak 36 kematian dilaporkan dalam tempoh ini iaitu penurunan 28 peratus (14 kes) berbanding minggu sama tahun lalu (50 kes),” katanya menerusi kenyataan semalam.

Beliau berkata masyarakat disaran mengamalkan langkah pencegahan dengan membersihkan sekitar premis dan kediaman masing-masing bagi mengelak pembiakan nyamuk aedes.

“Luangkan hanya 10 minit seminggu, pastikan semua takungan air yang tidak digunakan dimusnahkan selain menutup takungan air kekal atau meletakkan ubat pembunuh jentik-jentik,” katanya.


Pengarang :