AGENDANASIONAL

Kajian klinikal fasa tiga vaksin Covid-19 dijangka diterima minggu depan

PUTRAJAYA, 30 NOV: Kementerian Kesihatan (KKM) dijangka menerima laporan pertama kajian klinikal fasa ketiga vaksin Covid-19 minggu depan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata laporan itu akan diberikan oleh salah satu daripada 10 syarikat penyelidik vaksin yang berunding dengan Malaysia sebelum ini.

Jelas beliau, Malaysia membuat rundingan awal dengan 10 daripada 12 syarikat vaksin Covid-19 yang menjalankan fasa ketiga penyelidikan bagi menjamin negara boleh mendapat bekalan selepas vaksin itu didaftarkan.

“Kebimbangan Malaysia ialah apabila vaksin itu sudah didaftarkan bekalan tidak mencukupi kerana semua negara ingin mendapatkan bekalan vaksin pada masa sama.

“Ini (rundingan) adalah tindakan proaktif Kementerian Kesihatan selepas belajar daripada gelombang kedua Covid-19,” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 di KKM hari ini.

Menurut beliau, ketika gelombang kedua, Malaysia sukar mendapatkan bekalan peralatan perlindungan peribadi (PPE) dan ventilator (alat bantuan pernafasan) kerana semua negara turut mendapatkannya pada tempoh sama.

Katanya, keadaan itu melambatkan Malaysia mendapatkan bekalan vaksin Covid-19 dan penting untuk Malaysia memulakan rundingan perolehan vaksin.

“Syarat yang ditetapkan Malaysia dalam rundingan itu ialah vaksin perlu didaftarkan dengan FDA (Food and Drugs Authority) dan Bahagian Regulatori Farmasi Negara. Perjanjian akan terbatal jika vaksin itu tidak didaftarkan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata setakat ini sejumlah 23,480 kes sporadik dicatatkan di negara ini atau bersamaan 35.7 peratus dari jumlah keseluruhan kes dilaporkan manakala 65.3 peratus adalah kes yang dapat dikaitkan dengan kluster tertentu.

“Ada juga kes sporadik kita kesan awal dan kemudian kita kenal pasti kluster yang kita boleh kaitkan dengan kluster-kluster tersebut,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata dari segi angka kes sporadik yang bertambah menunjukkan virus tersebut sudah ada dalam komuniti di negara ini.

“Inilah yang kita bimbangkan untuk bagaimana kita gunakan kaedah kesihatan awam bagi membendung jangkitan Covid-19 dalam negara dan sebab itu kita ada tatacara operasi piawai (SOP) untuk elakkan diri daripada dijangkiti,” katanya.

 

-BERNAMA

 


Pengarang :