AGENDANASIONAL

Kakitangan awam, industri semua negeri boleh bekerja dari rumah

SHAH ALAM, 10 NOV: Kerajaan membenarkan kakitangan awam dan sektor industri semua negeri bekerja dari rumah susulan penutupan sekolah hingga hujung tahun ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bagi sektor awam ia tertakluk seperti pekeliling sebelum ini yang membenarkan kehadiran 30 peratus kakitangan selain ditentukan ketua jabatan masing-masing.

“Pihak JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) akan mengeluarkan surat pekeliling berkaitan hal ini kepada semua negeri manakala Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) akan mengumumkan untuk sektor industri,” katanya pada sidang media hari ini.

Bagaimanapun, menurutnya, arahan itu tidak melibatkan sektor peruncitan, restoran, perladangan, pertanian, perikanan dan lain-lain.

Pada 21 Oktober lalu, kerajaan membenarkan maksimum 10 peratus kakitangan sesebuah syarikat berada di pejabat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.


Pengarang :