Ahli Dewan Negeri Subang Jaya Michelle Ng (dua dari kiri) bersama tetamu lain memegang plakad Karnival Kerjaya Peringkat Subang Jaya di hadapan Sekolah Kebangsaan Sri Subang Jaya, Subang Jaya pada 7 November 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Karnival Kerjaya Subang Jaya sasar 100 majikan bantu penganggur

SUBANG JAYA, 7 NOV: Karnival Kerjaya Subang Jaya secara dalam talian menyasarkan penyertaan 100 majikan sepanjang tiga hari berlangsung bermula 19 November ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) berkata, pembabitan lebih banyak majikan membolehkan masalah pengangguran terutama akibat pandemik Covid-19 dapat dikurangkan.

Michelle Ng berkata program dengan kerjasama Majlis Bandaraya Subanga Jaya serta beberapa syarikat itu tidak menghadkan penyertaan dari Dewan Undangan Negeri tersebut sahaja tetapi juga kawasan lain.

“Ini sebagai usaha mengatasi masalah pengangguran. Selain dapat membantu individu kehilangan kerja, majikan juga turut menerima manfaat di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Antanya menerima subsidi gaji selama enam bulan dan elaun latihan RM30 bagi setiap pekerja,” katanya kepada pemberita hari ini.

Michelle berkata karnival hingga 21 November itu turut akan melaksanakan kursus kemahiran bagi melatih pekerja mendalami bidang baharu.

“Antara syarikat bersetuju sertainya adalah anak syarikat Sunway Group, City-Link dan Costa Coffee,” katanya.

Majikan yang mahu menyertai karnival terbabit boleh mendaftar di laman web https://rb.gy/allfhz manakala untuk pencarian kerja di https://rb.gy/j9otkm

Pendaftaran boleh dilakukan sehingga 15 November ini.


Pengarang :