KDEBWM menyumbang tong sampah Leach Bin untuk ditempatkan di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer serta Subang Jaya pada 12 dan 13 November 2020. Foto Facebook KDEBWM
AGENSISELANGOR

KDEBWM: Lebih 400 unit tong sampah disumbang di DUN

SHAH ALAM, 16 NOV: KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) menyumbang lebih 400 unit tong sampah pelbagai jenis di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bermula awal tahun sehingga kini.

Ketua perhubungan awam dan medianya berkata sumbangan Leach Bin, ROTO Bin serta Mobile Garbage Bin (MGB) bersaiz 660 liter(l), 240l dan 120l sebagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu penduduk dan memastikan negeri ini kekal bersih.

“Kita harap penyediaannya menggalakkan masyarakat membuang sisa domestik ke dalam tong sampah disediakan seterusnya memudahkan kutipan oleh KDEBWM,” kata Mahfuzah Muhammad Tarmidi ketika dihubungi.

Terbaharu, KDEWBM menyumbang 10 unit tong sampah Leach Bin iaitu enam untuk DUN Taman Templer dan empat (DUN Subang Jaya) dengan mengambil kira tong sedia ada yang rosak serta tidak boleh digunakan lagi selain keperluan mendesak untuk menguruskan sampah lebih baik.

Mahfuzah berkata KDEBWM menyambut baik sekiranya Ahli Dewan Negeri, persatuan penduduk, komuniti mahupun agensi yang mahu membuat permohonan bagi mendapatkan kemudahan tersebut.

“Pihak operasi KDEBWM akan menyemak dan menganalisa permohonan terlebih dahulu bergantung pada keperluan di kawasan berkaitan,” katanya.


Pengarang :