Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli (kiri) menyerahkan sumbangan kepada mangsa banjir di salah sebuah pusat pemindahan sementara pada 24 November 2020. Foto Facebook Juwairiya Zulkifli
ADNSELANGOR

Keluarga terjejas banjir terima bantuan wang tunai, pek makanan

SHAH ALAM, 24 NOV: Seramai 30 keluarga dari tiga kampung di Kuala Selangor yang terkesan dengan bencana banjir menerima sumbangan wang tunai dan pek makanan kelmarin.

Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati berkata wang tunai berjumlah RM100 berserta makanan seperti biskut, minuman, kekacang dan roti diagih kepada mangsa dari Kampung Ijok, Kampung Sri Aman serta Kampung Sentosa.

“Kesemua mereka yang mendapat bantuan tersebut kini ditempatan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) Desa Coalfield dan Sekolah Kebangsaan (SK) Ijok.

“Sumbangan ini diharap dapat memudahkan urusan mangsa dan sedikit sebanyak meringankan beban yang ditanggung mereka akibat bencana itu,” kata Juwairiya Zulkifli ketika dihubungi semalam.

Beliau juga menasihatkan mangsa terlibat supaya bersabar atas musibah yang menimpa mereka dan sentiasa mengikut arahan pihak berkuasa tempatan (PBT) demi keselamatan.

“Didoakan buat mereka untuk terus diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi dugaan ini,” katanya.

Hujan lebat berterusan sejak 20 November lalu menyebabkan tiga kampung terbabit dilanda banjir kilat dan dipindahkan ke tiga pusat pemindahan.

Setakat semalam, dua daripada tiga PPS masih dibuka di daerah itu membabitkan seramai 90 mangsa banjir daripada 60 keluarga.


Pengarang :