KPDNHEP menyiasat punca kenaikan harga bawang India di Perlis sejak bulan September lepas.
AGENDANASIONAL

Kenaikan harga bawang dari India tidak dapat dielak, banjir jejas pasaran

BATU PAHAT, 21 NOV: Kenaikan harga bawang besar dari India tidak dapat dielakkan kerana
pengimportan bahan masakan itu agak berkurangan ketika ini akibat musim tengkujuh dan
bencana banjir di negara berkenaan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid
berkata pengguna perlu bersabar, dan menggunakan bawang dari beberapa negara seperti
Thailand, Pakistan, China, Belanda, Myanmar serta Indonesia sebagai alternatif, yang
bekalannya mencukupi dan harganya masih kekal sama.

“Bagaimanapun, saya dapati pengguna di negara ini lebih gemar menggunakan bawang yang
diimport dari India kerana ia mempunyai rasa yang tersendiri berbanding bawang yang
dibekalkan negara-negara lain,” katanya pada sidang media selepas melawat kilang pengeluar
telur ayam Teo Seng Capital Berhad, di Yong Peng, dekat sini hari ini.

Timbalan Ketua Setiausaha Pendayaupayaan Pengguna Kementerian Perdagangan Dalam Negeri
dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Mohamed Zahari Razali dan Pengarah Eksekutif Kumpulan
Leong Hup International Berhad Tan Sri Lau Tuang Nguang turut hadir pada lawatan itu.

“Pihak kementerian akan terus mencari dan mendapatkan sumber bekalan bawang dari
negara-negara pengimport bawang yang lain bagi memenuhi permintaan pengguna negara ini,”
kata Rosol.

Dalam pada itu, beliau berkata KPDNHEP turut menjamin bekalan bahan makanan mencukupi
ketika ini dan membenarkan pihak pemborong menyediakan bekalan makanan serta keperluan
asas melebihi 30 peratus daripada kuota bekalan biasa semasa musim tengkujuh.

-BERNAMA


Pengarang :