Suasana di hadapan asrama pekerja wanita Top Glove Jalan Abadi 1A Meru, Klang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ketika tinjauan sekitar jam 6.30 petang pada 16 November 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Keputusan saringan PKPD asrama Top Glove diketahui esok

SHAH ALAM, 22 NOV: Keputusan penuh saringan individu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) asrama pekerja Top Glove, Klang dijangka diketahui esok.

Ketua polis Klang Utara berkata ujian yang dilakukan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) terhadap pekerja Top Glove serta penduduk selesai sepenuhnya semalam.

“Jadi kita memerlukan dua hari untuk mendapatkan hasil ujian semalam. Keputusan diterima berperingkat dan mereka yang jalani ujian awal sudah diterima.

“Sebaik menerima keputusan penuh, kita akan adakah perbincangan dengan PKD untuk tindakan lanjut terutama membabitkan saringan kali kedua,” kata Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, proses berkenaan berjalan lancar selepas semua pekerja dan penduduk memberi kerjasama penuh.

“Kita tidak alami sebarang masalah. Mereka faham kepentingan saringan ini sekali gus memudahkan pihak berkuasa,” katanya.

Isnin lalu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKPD di asrama pekerja Top Glove Klang selepas Kementerian Kesihatan mengesan 215 kes positif Covid-19.

Susulan itu, seramai 5,700 pekerja serta 1,200 penduduk sekitar dikenakan PKPD 14 hari dan perlu menjalani saringan.


Pengarang :