Penguat kuasa MPS menyita botol minuman keras dari salah sebuah premis yang beroperasi tanpa lesen di daerah itu dalam serbuan pada 19 Ogos 2020. Foto: MPS
AGENDANASIONAL

Kerajaan mungkin perluas haram jualan arak di kedai runcit, serbaneka

KOTA BHARU, 21 NOV: Kerajaan tidak menolak kemungkinan memperluaskan pengharaman jualan arak di kedai serbaneka dan kedai runcit di negeri selain Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary berkata kerajaan menerima komen positif daripada masyarakat merentasi kaum berhubung langkah itu yang dijangka dilaksanakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bermula Oktober tahun depan.

“Hingga ke tarikh ini kita hanya mengehadkan pengharaman jualan arak ini di Wilayah Persekutuan, namun kita tidak menolak kemungkinan akan diperluaskan ke tempat-tempat lain,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Program Inspirasiku MyHaus di bawah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia hari ini.

Pada majlis itu, beliau menyerahkan kunci rumah kepada ibu tunggal Rashidah Semail, 48, dari Kampung Parang Puting, Pengkalan Chepa.

Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk berkata pihaknya juga menerima aduan daripada pekerja kedai serbaneka yang terpaksa menjual arak.

“Sebenarnya negara kita agak terkebelakang dari sudut pengawalan penjualan minuman keras ini dan jika kita tengok negara jiran kita seperti Singapura, undang-undang mereka lebih ketat dan ada had-had dan masa-masa tertentu.

“Bagaimanapun, ini permulaan yang sangat baik walaupun hanya dilaksanakan di Wilayah Persekutuan dahulu,” katanya, menambah langkah itu juga bukan agenda politik.

-BERNAMA


Pengarang :