AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Bekalan air di 27 kawasan di Kuala Langat, Sepang kembali pulih

KUALA LUMPUR, 25 NOV: Kerja-kerja penggantian injap pada paip agihan yang terletak di simpang Jalan Indah 1, Jalan B48 Pekan Sepang Lama telah siap dilaksanakan pada 3 pagi tadi iaitu lebih awal daripada yang dijadualkan.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri memaklumkan justeru itu, pengguna telah mula menerima bekalan air bermula 5 pagi tadi.

“Bagaimanapun, proses pemulihan bekalan air adalah secara berperingkat-peringkat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Air Selangor memaklumkan 27 kawasan di Kuala Langat dan Sepang mengalami gangguan bekalan air berjadual bermula 9 malam dan dijangka pulih sepenuhnya pada 5.30 petang ini.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman sesawang Air Selangor di www.airselangor.com atau rujuk kesemua saluran komunikasi rasmi syarikat itu seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.

– BERNAMA


Pengarang :