Hee Loy Sian (dua, kiri) meninjau lokasi tebatan banjir di Sungai Sekamat, Kajang pada 25 November 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Kerja selenggara tebing sungai mukim Kajang, Hulu Langat selesai

KAJANG, 26 NOV: Kerja penyelenggaraan dan pemulihan tebing sungai di mukim Kajang serta Hulu Langat siap sepenuhnya bulan lalu.

EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata kerja baik pulih bermula Julai meliputi Taman Sungai Mas, Taman Pasiremas, Kampung Jambu dan Taman Muhibbah.

“Semua projek dijalankan selepas banjir kilat melanda daerah ini Julai lalu mengikut pakej ditetapkan dengan setiap satu menelan kos sekitar RM80,000 hingga RM135,000.

“Kawasan ini kerap berlaku banjir yang teruk hingga mengakibatkan kerosakan tebing sungai seterusnya air mengalir dan melimpah ke taman berhampiran,” katanya.

Beliau ditemui selepas meninjau kerja tebatan banjir Jajaran Sungai Langat di Kampung Sungai Sekamat dan Kampung Seri Jambu di sini semalam.

Ahli Dewan Negeri Kajang berkata projek sama di dua lagi kawasan membabitkan Lorong Mendaling Pekan Kajang dan Kampung Sekamat kini siap 95 peratus.

“Kita menjangka kerja penyelenggaran di kedua-dua kawasan ini selesai dalam tempoh dua minggu lagi dan berharap projek ini dapat mengatasi isu banjir di Kajang serta Hulu Langat,” kata Loy Sian.

Beliau menambah hampir RM700,000 diperuntuk Kerajaan Negeri untuk menjayakan semua projek berkenaan demi manfaat masyarakat setempat.


Pengarang :