Edry Faizal Eddy Yusof
ADNSELANGOR

Kerjasama syarikat telco mampu sokong Agenda Digitalisasi

SHAH ALAM, 23 NOV: Kerajaan Selangor disaran menjalin kerjasama dengan syarikat telekomunikasi bagi memudahkan rakyat mendapat capaian internet.

Ahli Dewan Negeri Dusun Tua berkata langkah itu memberi manfaat kepada banyak pihak seterusnya menyokong usaha memperhebatkan inisiatif pendigitalan.

“Pendigitalan menjadi aspek terpenting selepas seluruh dunia mengalami krisis pandemik Covid-19. Bagaimanapun, di Selangor signal internet di kawasan pedalaman agak teruk hingga menyukarkan rakyat.

“Oleh itu, jalinan kerjasama dengan syarikat telekomunikasi seperti Telekom Malaysia Berhad (TM) dan telco lain mampu menguatkan signal. Ini memudahkan rakyat berurusan dalam dunia maya,” kata Edry Faizal Eddy Yusof kepada SelangorKini semalam.

Beliau berkata selaku pentadbir negeri, syarikat telekomunikasi akan memberikan perkhidmatan terbaik sekiranya kerjasama dua hala terjalin.

“Di kawasan saya sendiri, 30 hingga 40 peratus kawasan masih tidak mempunyai isyarat talian komunikasi. Dapat asas (isyarat) pun sudah memadai demi memudahkan urusan penduduk,” katanya.

Menerusi Belanjawan Selangor 2021, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan peruntukan RM369 bagi menjayakan agenda Negeri Pintar Ulung dan Agenda Digitalisasi.

Usaha itu bagi menggerak ekonomi secara holistik melalui transformasi sistem perkhidmatan, sosial, perniagaan dan keusahawanan, penciptaan nilai serta seni kreatif.


Pengarang :