Sampel saringan Covid-19 individu yang akan dihantar bagi mendapat keputusan sebelum persidangan Dewan Rakyat pada 18 Mei 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kes Covid-19 di Parlimen libat petugas media, pegawai senator

KUALA LUMPUR, 3 NOV: Terdapat dua kes Covid-19 dikesan hasil saringan yang dijalankan di Parlimen pada Rabu dan Jumaat lepas, kata Ketua Pentadbir Parlimen Datuk Kamis Samin.

Beliau berkata dua kes positif itu melibatkan seorang petugas media dan seorang pegawai kepada ahli Dewan Negara.

“Kedua-dua kes yang positif itu telah pun diambil tindakan lanjut oleh Kementerian Kesihatan sejurus selepas keputusan ujian saringan diperolehi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu merujuk kepada beberapa laporan media semalam berhubung isu individu yang bertugas di Parlimen positif Covid-19.

Ujian saringan yang dijalankan sebelum Dewan Rakyat bersidang itu melibatkan semua pegawai, kakitangan Parlimen termasuk polis bantuan, media rasmi dan Ahli Parlimen.

Bagaimanapun, beliau berkata menerusi ujian yang dijalankan Kementerian Kesihatan itu, semua kakitangan Parlimen adalah negatif dan bebas daripada jangkitan Covid-19.

Beliau berkata pihak Parlimen telah menjalankan pelbagai usaha serta persediaan sewajarnya bagi mengekang penularan wabak Covid-19 untuk memastikan kelancaran persidangan dan pembentangan Belanjawan 2021 yang akan diadakan Jumaat ini.

-BERNAMA


Pengarang :