Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyampaikan statistik jangkitan pada sidang media perkembangan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia Putrajaya pada 26 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kes positif Covid-19 di Selangor turun, Kluster Fores dikesan

SHAH ALAM, 6 NOV: Kes baharu positif Covid-19 di Selangor turun hari ini kepada 164 berbanding 180 semalam dengan empat daripadanya membabitkan kluster baharu, Kluster Fores.

Ketua pengarah kesihatan berkata penurunan itu menjadikan jumlah kumulatif wabak di negeri itu 5,590 kes.

“Sebanyak 111 kes daripada kluster sedia ada, 28 kes daripada saringan kontak rapat dan 25 kes daripada lain-lain saringan Covid-19,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan.

Beliau menjelaskan Kluster Fores membabitkan indeks kes ke-25,475 merupakan jangkitan pernafasan akut teruk (Sari) yang dikesan positif pada 17 Oktober lalu dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

Menurutnya, kluster tersebut melibatkan daerah Petaling, Gombak dan Klang di Selangor serta Kepong di Kuala Lumpur turut mengenal pasti 19 kes positif hasil saringan kontak rapat.

“Sehingga 12 tengah hari sejumlah 190 individu telah disaring, 20 kes dikesan positif dengan lima kes baharu, 70 negatif dan 100 individu masih menunggu keputusan,” katanya.

Hari ini Malaysia mencatatkan 1,755 kes baharu Covid-19, paling tinggi dicatatkan sejak wabak tersebut melanda negara dengan 1,752 membabitkan penularan tempatan manakala tiga lagi kes import.


Pengarang :