Seorang pengunjung melihat replika Covid-19 pada Ekspo Kesihatan Dunia di Wuhan, China pada 11 November 2020. Foto AFP
AGENDANASIONAL

KKM: 1,114 kes baharu Covid-19, 803 sembuh, dua kematian

SHAH ALAM, 14 NOV: Kes baharu Covid-19 sekali lagi mencatatkan empat angka dengan 1,114 kes hari ini, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 dalam negara ialah 46,209 dengan 12,131 kes aktif.

“Setakat jam 12 tengah hari tadi, Malaysia mencatatkan bilangan kes pulih Covid-19 sebanyak 803 menjadikan jumlah kumulatif sembuh sebanyak 33,772.

“Daripada jumlah kes baharu, terdapat dua kes import melibatkan seorang warganegara yang baru pulang ke Selangor dari Indonesia manakala seorang warga asing di Sarawak yang pulang dari Jordan. Sementara bakinya adalah penularan dalam negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata Sabah terus mencatat kes harian tertinggi dengan 391 kes diikuti Negeri Sembilan (371), Selangor (199), Perak (53) dan Pulau Pinang (34).

Katanya, Kuala Lumpur pula mencatatkan 13 kes baharu sementara Johor (15), Kedah (10), Labuan (lapan), Melaka (enam), Kelantan (lima), Sarawak (tiga) dan Putrajaya (empat).

Dr Noor Hisham berkata terdapat dua kes kematian berkaitan Covid-19 hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 306 kes.

Katanya, kedua-dua kes kematian itu melibatkan warganegara yang mendapat rawatan di Hospital Queen Elizabeth, Sabah.

Beliau berkata sehingga kini, terdapat 103 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 43 kes memerlukan bantuan pernafasan.


Pengarang :