Petugas Sunway Medical Centre melakukan proses ujian saringan Covid-19 melalui Cov Shield kepada orang ramai yang hadir bagi membuat saringan bersasar pada 8 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

KKM: 65 kluster aktif Covid-19 berkait dengan tempat kerja

SHAH ALAM, 13 NOV: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti 65 daripada 158 kluster aktif Covid-19 di negara ini adalah berkaitan dengan tempat kerja.

Ketua pengarah kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah itu termasuk dua kluster baharu yang dilaporkan hari ini.

“Sebanyak 5,681 kes positif berkaitan kluster tempat kerja melibatkan 3,369 (59.3 peratus) warganegara dan 2,312 (40.7 peratus) bukan warganegara.

“Ini adalah hasil tindakan proaktif majikan yang turut sama menjalankan saringan Covid-19 terhadap pekerja mereka,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata pekerja digesa mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dan sentiasa mengamalkan kawalan kendiri bagi mengekang penularan wabak di tempat kerja.

Katanya majikan dan pekerja perlu memastikan kebersihan persekitaran tempat kerja termasuk tandas, dapur dan pantri.

“Majikan juga diingatkan memastikan pekerja mereka mematuhi segala SOP termasuk menjaga kebersihan di kawasan penginapan dan tempat tinggal kerana didapati risiko penularan tinggi bagi kawasan penginapan yang sesak dan sempit,” katanya.

 

 


Pengarang :