Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dibasahi hujan selepas melakukan proses sanitasi di pos kawalan Asrama Pekerja Wanita Top Glove Corporation Bhd yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Jalan Abadi 7 Meru Klang pada 24 November 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KKM kenal pasti enam kluster baharu, dua lagi diisytihar tamat

PUTRAJAYA, 26 NOV: Sebanyak enam kluster baharu dikenal pasti hari ini, manakala dua kluster diisytiharkan tamat, kata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dua kluster yang tamat ialah Kluster Tuguson di Kota Belud, Sabah dan Kluster Seri Gaya yang melibatkan Kota Kinabalu dan Tuaran di Sabah, menjadikan jumlah kluster yang tamat ialah sebanyak 172 kluster.

Enam kluster baharu yang dikenal pasti ialah dua kluster di Tawau, Sabah, iaitu Kluster Bot Biru dan Kluster Blok 31, masing-masing satu kluster di Johor (Kluster Gemilang), Kuala Lumpur (Kluster Tapak Bina Sungai Udang), Kelantan (Kluster Chengal), serta Pulau Pinang dan Kedah (Kluster Damar Laut).

Beliau berkata kes indeks Kluster Bot Biru dilaporkan positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 15 November lepas dan sehingga hari ini, sejumlah 23 individu disaring dengan 17 kes dikesan positif dalam kluster itu.

Kes indeks bagi Kluster Blok 31 dilaporkan positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada Sabtu lepas dan sehingga semalam, sejumlah 26 individu disaring dengan 13 kes dikesan positif Covid-19, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata Kluster Gemilang di Johor Bahru melibatkan sebuah syarikat logistik dan sehingga semalam, sejumlah 95 individu disaring dengan 26 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini.

Kluster Tapak Bina Sungai Udang pula melibatkan pekerja-pekerja sebuah tapak pembinaan di Kepong, Kuala Lumpur dan setakat semalam, seramai 196 individu telah disaring dengan 11 kes dikesan positif Covid-19.

Mengenai Kluster Chengal pula, ia melibatkan Daerah Kota Bharu dan Machang di Kelantan dengan kes indeks merupakan kes Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) dilaporkan positif Covid-19 pada Sabtu lepas.

Sehingga semalam, katanya sejumlah 254 individu telah disaring, dengan 15 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster berkenaan.

Kluster Damar Laut pula melibatkan Daerah Timur Laut dan Barat Daya di Pulau Pinang serta Daerah Padang Terap, Kedah.

Beliau berkata lima kes pertama bagi kluster itu dilaporkan positif Covid-19 hasil saringan individu-individu bergejala antara Sabtu lepas dan Selasa lepas dan hasil saringan ke atas 651 individu merekodkan 13 kes positif di kesan dalam kluster itu.

Daripada 173 kluster yang aktif, beliau berkata sebanyak 44 kluster melaporkan pertambahan kes.

“Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster Bakti sebanyak 95 kes, Kluster Cergas (48 kes) dan Kluster Enggor sebanyak 43 kes,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :