Pegawai kesihatan menjalankan tugas di asrama pekerja wanita syarikat sarung tangan Top Glove di Meru pada 23 November 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kluster Teratai babit 2,524 kes positif, majoriti pekerja Top Glove

SHAH ALAM, 23 NOV: Sebanyak 2,524 kes positif direkodkan dari kluster Teratai yang kebanyakannya dikesan dalam kalangan pekerja kilang Top Glove di Meru, Selangor.

Ketua pengarah kesihatan berkata jumlah itu melibatkan 164 warganegara serta 2,360 warga asing, berusia antara dua hingga 68 tahun.

“Keseluruhan 5,767 individu disaring, 1,330 negatif manakala 1,913 masih menunggu keputusan.

“Kes positif dimasukkan ke hospital dan kontak rapat dikuarantin untuk mengelak jangkitan,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media hari ini.

Bagaimanapun beliau berkata tiada kematian direkodkan dari kluster ini selain tiada yang ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).

Katanya, kluster Teratai yang turut membabitkan jangkitan di Kuala Lumpur diisytiharkan pada 7 November dan bermula 17 November kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di kilang Top Glove, Klang serta kawasan perumahan berhampiran.

Dr Noor Hisham berkata PKPD itu melibatkan kira-kira 5,900 penduduk serta 13,000 pekerja kilang berdasarkan maklumat pengurusan kilang.


Pengarang :