Orang ramai membeli barang-barang keperluan di sebuah pasar raya di Kuala Lumpur pada 8 November 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KPDNHEP laksana operasi pemantauan sepanjang PKPB

PUTRAJAYA, 8 NOV: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan melaksanakan operasi pemantauan di seluruh negara di sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di kesemua negeri terlibat bermula esok hingga 6 Disember depan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam kenyataannya hari ini berkata pihaknya akan mengerakkan 2,267 anggota dan pegawai penguatkuasa bersama 1,031 Pegawai Pemantau Harga (PPH) di 72 pejabat cawangan KPDNHEP bagi melaksanakan pemantauan tersebut.

“Ia bagi memastikan bekalan barangan keperluan asas, khususnya makanan sentiasa mencukupi dan boleh diperolehi dengan mudah di pasaran, sekali gus mampu menampung keperluan secara berterusan,” katanya.

Nanta berkata, secara keseluruhan, tiada pembelian panik dan trend pembelian adalah pembelian normal ke atas premis-premis runcit yang diperiksa oleh pasukan pegawai penguat kuasa KPDNHEP dan bekalan barangan di peringkat pemborong dan pengilang adalah mencukupi, stabil dan berupaya menampung permintaan semasa.

Katanya, pengguna tidak perlu bimbang dengan bekalan makanan dan keperluan harian dan membuat pembelian panik, kerana bekalan dijamin mencukupi berdasarkan pemeriksaan dan pemantauan yang dilakukan setiap hari disemua peringkat pengilang, pemborong dan peruncit yang akan beroperasi seperti biasa.

“Para peniaga diingatkan untuk memastikan barangan jualan diletakkan tanda harga yang jelas bagi memudahkan pengguna mendapatkan maklumat untuk perbandingan harga sebelum melakukan sesuatu pembelian serta merancang perbelanjaan mereka,” katanya.

Nanta berkata, tindakan penguatkuasaan yang tegas akan diambil jika didapati mana-mana peniaga sama ada di semua peringkat cuba mengambil kesempatan berhubung bekalan barang keperluan asas atau melakukan aktiviti mencatut semasa menghadapi situasi pandemik Covid-19.

Kata beliau, sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sebanyak 12 barang keperluan harian pengguna telah dipantau secara harian oleh Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP di seluruh negara.

Barangan tersebut ialah gula, minyak masak, tepung gandum, beras, roti putih, susu tepung, ayam, sayur-sayuran, telur, bawang, pensanitasi tangan dan pelitup muka, katanya.

Beliau berkata, sebagai persediaan menghadapi musim banjir di negeri-negeri yang bakal terjejas pada musim tengkujuh, KPDNHEP turut melakukan pemantauan harian bagi memastikan keberadaan bekalan makanan dan barang keperluan asas sentiasa mencukupi dan diperolehi pada harga munasabah.

Katanya, sebanyak 473,899 premis perniagaan telah diperiksa oleh anggota penguatkuasa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bagi memastikan pematuhan semua undang-undang yang dikuatkuasakan KPDNHEP.

Ini merangkumi pelbagai jenis perniagaan seperti kedai runcit, pasaraya, kedai makan, kedai kek dan roti, kedai pakaian, bengkel kenderaan dan lain-lain premis, katanya.

– BERNAMA


Pengarang :