AGENDANASIONAL

KPDNHEP tumpas cubaan seleweng 15,000 kg minyak masak bersubsidi

KUALA LUMPUR, 5 NOV: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas pelbagai barangan yang dianggarkan bernilai lebih RM240,000 termasuk 15,000 kilogram minyak masak bersubsidi, lori dan peralatan pemindahan minyak dalam Ops Goreng di Teluk Panglima Garang kelmarin.

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata serbuan itu dilakukan pada 11 pagi di sebuah premis di Jalan Waja, Batu 9, Sijangkang melibatkan empat pegawai kementerian dari Shah Alam serta beberapa anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

Beliau berkata serbuan yang membabitkan kegiatan penyelewengan minyak masak bersubsidi bagi pasaran industri tempatan dan luar negara itu dilakukan selepas risikan selama dua minggu.

“Ketika serbuan dijalankan, terdapat dua pekerja iaitu seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 35 serta 45 tahun sedang mengisi minyak masak bersubsidi ke dalam tangki berkapasiti 1,000 kilogram di atas sebuah lori untuk dihantar ke sebuah syarikat di Puchong, Selangor,” menurutnya dalam kenyataan semalam.

Iskandar Halim berkata pemeriksaan membawa kepada penemuan sebuah lori treler yang mempunyai muatan minyak masak bersubsidi seberat 3,000 kilogram dan sebuah tangki berisi minyak masak bersubsidi seberat 12,000 kilogram.

“Turut ditemukan peralatan memotong dan mengasingkan minyak masak bersubsidi, antaranya pisau, gunting, saluran paip, mesin pam, besen dan corong plastik. Sejumlah 5,000 keping sisa plastik minyak masak bersubsidi satu kilogram dijumpai di kawasan premis berkenaan.

“Selain itu, terdapat alat timbang yang disyaki digunakan bagi menyukat kuantiti minyak masak sebelum ia dieksport ke luar negara dan dokumen penghantaran minyak masak bersubsidi daripada pembekal minyak masak yang berlesen di sekitar Selangor,” katanya.

Beliau juga berkata kedua-dua suspek memaklumkan bahawa tugas mereka ialah mengasing dan memasukkan minyak masak ke dalam tangki yang terdapat di premis terbabit serta menghantar bekalan minyak masak itu kepada pihak ketiga.

“Berdasarkan keterangan mereka lagi, stor itu telah beroperasi sejak enam bulan lepas. Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu menyimpan barangan kawalan dengan niat untuk melakukan kesalahan,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :