Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador (dua, kiri) bertanya sesuatu kepada anggota bertugas di Pos Sekatan Jalan Raya Taman Radzi selepas melawat kawasan berlakunya tembakan ke atas seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di sempadan Malaysia-Thailand yang maut dipercayai ditembak, awal pagi 24 November 2020. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAHNASIONAL

KPN: Dua lagi suspek ditahan insiden tembakan sempadan Malaysia-Thailand

JEMPOL, 25 NOV: Dua lagi rakyat Thailand ditahan pasukan keselamatan pada 7 pagi tadi di tembok sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis menjadikan keseluruhan suspek rakyat negara jiran itu yang ditahan berkaitan kes tembak anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) lapan orang.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata daripada kesemua lapan suspek berkenaan, empat daripadanya ditahan di Malaysia manakala empat lagi di negara jiran.

“Dua warga Thailand ini kami yakin tidak sempat melarikan diri, oleh kerana tidak ada ruang dan peluang untuk mereka melepasi tembok sempadan. Jadi apabila kami buat sweeping di ladang dan belukar tersebut, terserempak dengan dua orang ini.

“Kami telah bawa mereka untuk soal siasat selanjutnya. Kami juga sedang berunding dan akan mengutuskan permohonan secara rasmi kepada pihak Polis Diraja Thailand supaya keempat-empat (penyeludup) yang ditahan di Thailand itu dapat diserahkan kepada kami untuk diadili,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri upacara pengebumian mendiang Koperal Baharuddin Ramli yang terkorban awal pagi semalam dalam kejadian berbalas tembak dengan kumpulan penyeludup ketika bertugas di sempadan Malaysia-Thailand, di Padang Besar, Perlis.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata Jabatan Siasatan Jenayah bersama pasukan forensik sedang berusaha mengesan senjata api yang digunakan kumpulan berkenaan yang berkemungkinan telah dicampak di kawasan kejadian.

“Dalam belukar tersebut, kami lakukan sweeping (pencarian) di situ. Kami percaya pada saat kejadian tersebut oleh kerana berlaku dalam keadaan spontan dan kumpulan berkenaan bertempiaran lari dan di situ ada kesukaran untuk berhubung kerana line telefon tidak ada.

“Mereka terpaksa tunggu keadaan reda dan saya percaya itulah taktik yang digunakan dua orang yang kami tangkap pagi ini, mereka akan cuba ke tembok itu untuk melarikan diri,” katanya.

Ditanya berapa lagi baki suspek yang belum ditahan, beliau menjelaskan ia bergantung kepada hasil soal siasat.

“Ada maklumat kata berbelas-belas, kami tak dapat sahkan, (ada) kata 12,13 atau 14. Tapi soal siasat sedang berjalan dan insya-Allah kami akan dapat lebih banyak maklumat berhubung kejadian tersebut, berapa ramai terlibat,” katanya.

Dalam kejadian 2.30 pagi itu, Koperal Baharuddin Ramli, 54, daripada Batalion 3 (Senoi Praaq) Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) terkorban manakala rakan setugas Koperal Norihan a/l Tari, 39, cedera dan kini dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar, Perlis.

Terdahulu, Abdul Hamid meluangkan masa selama dua jam menziarahi keluarga dan memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang Koperal Baharuddin yang disemadikan di Tanah Perkuburan Orang Asli, Kampung Sungai Sampo, Bandar Sri Jempol di sini.

Mendiang Baharuddin selamat disemadikan pada 12.20 tengah hari dan dihadiri ratusan hadirin terdiri daripada keluarga, penduduk kampung dan pegawai serta anggota polis.

-BERNAMA


Pengarang :