AGENSISELANGOR

Kumpulan Perangsang Selangor rangkul Anugerah Kemampanan dan CSR Malaysia 2020

SHAH ALAM, 15 NOV: Anak syarikat Kerajaan Negeri, Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) berjaya merangkul Anugerah CSR Malaysia dan Anugerah Kemampanan 2020.

Pengiktirafan menerusi CSR Malaysia Publications dan Pertubuhan Amal Tanggungjawab Kemampanan dan Korporat Malaysia itu turut mengiktiraf 40 syarikat lain di negara ini.

KPS bersama Tenaga Nasional Bhd, operator restoran McDonald’s Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd dan Bank Rakyat mendahului senarai penerima anugerah pada tahun ini berikutan kecemerlangan mereka secara keseluruhan.

Pengerusi CSR Malaysia, Datuk R. Rajendran berkata syarikat swasta adalah pemacu ekonomi negara serta berada di kedudukan baik melaksanakan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang memberikan kesan.

“Sebanyak 41 syarikat Malaysia diberi penghormatan ini dipilih panel hakim berkaliber mewakili badan korporat dan sosial.

“Kriteria penilaian berdasarkan tujuan dan matlamat syarikat dalam inisiatif CSR, serta impak dihasilkan dan kekerapan mengadakan program CSR,” katanya dilapor theedgemarkets.com.

Penerima anugerah lain untuk 2020 antaranya Kumpulan Sunway, Kumpulan Mah Sing Berhad, Flex Penang, Flex Johor, Kumpulan Perbankan RHB, 7-Eleven Malaysia, Kwantas Corporation Bhd dan Canon Marketing Malaysia.

Diperbadankan pada 11 Ogos 1975, KPS adalah syarikat liabiliti terhad awam yang tersenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd (Bursa Securities) di bawah sektor produk industri perkhidmatan.

KPS mempunyai pelaburan teras bagi sektor pembuatan, serta perniagaan bagi sektor perdagangan, perlesenan dan infrastruktur.

KPS pernah memenangi beberapa anugerah termasuk anugerah CSR Malaysia 2019 dan Syarikat Terbaik Untuk Bekerja dalam kategori Asia di bawah edisi Malaysia pada majlis Anugerah HR Asia 2018.


Pengarang :