Orang awam keluar dari Masjid Jamek Al-Amaniah, Batu Caves selepas menunaikan solat Jumaat pada 26 Jun 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Lanjut PKPB: SOP akad nikah, solat Jumaat kekal – Jais

SHAH ALAM, 8 NOV: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) masih mengekalkan tatacara operasi piawai (SOP) sama bagi upacara akad nikah di negeri ini susulan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pengarahnya Mohd Shahzihan Ahmad berkata arahan itu termasuk pelaksanaan solat fardu Jumaat dan solat lima waktu di masjid, surau kebenaran Jumaat serta surau seluruh negeri.

Menurutnya, ketetapan lama diteruskan berikutan kebimbangan terhadap situasi semasa pandemik Covid-19 di Selangor ketika ini.

“Tiada perubahan SOP (akad nikah, solat Jumaat dan solat lima waktu) memandangkan keadaan (Covid-19) tidak bertambah baik.

“Oleh itu, kita mengguna pakai SOP terakhir yang dikeluarkan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini hari ini.

Ditanya sama ada perlu pertimbangan untuk memperketatkan lagi SOP sedia ada, Shahzihan berkata kemungkinan ada keperluan untuk berbuat demikian namun bukan dalam tempoh terdekat.

Sebelum ini, Jais memberi kelonggaran majlis akad nikah di Pejabat Agama Islam Daerah (Paid) seluruh negeri dengan kehadiran dan jumlah janji temu terhad pada satu-satu masa mulai 2 November.

Kelonggaran tertakluk beberapa syarat iaitu pemohon lelaki dan perempuan sudah mendapat Kebenaran Berkahwin mengikut Seksyen 17 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) Tahun 2003 dari Paid.

Selain itu, hanya tiga orang dibenarkan hadir upacara akad nikah iaitu pengantin lelaki, pengantin perempuan dan wali manakala hanya lima akad nikah dibenarkan dalam satu hari pada hari Isnin hingga Jumaat (hari bekerja) bermula 9 pagi hingga 4 petang.

Jabatan tersebut juga menetapkan untuk tidak membenarkan solat Jumaat di masjid dan surau kebenaran Jumaat di daerah yang dikategorikan zon kuning serta merah.

Manakala, hanya enam orang sahaja dari kalangan pegawai dan ahli jawatankuasa dibenarkan mendirikan solat fardu lima waktu di masjid, surau kebenaran Jumaat serta surau.


Pengarang :