AGENDANASIONAL

Lebih 120,000 pencari kerja dibantu guna portal MyfutureJobs – Perkeso

KUALA LUMPUR, 26 NOV: Program Insentif Pengambilan Kerja, PenjanaKerjaya membantu lebih 120,000 pencari kerja melalui Portal Perkhidmatan Pekerjaan Negara MyfutureJobs sejak ia dilancarkan Jun lepas.

Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam satu kenyataan hari ini menyatakan pada masa ini lebih 500,000 kekosongan diiklankan di MYFutureJobs, dengan lebih 400,000 pencari kerja melayari laman web itu.

“Portal itu memadankan pencari kerja dengan kekosongan ada dengan cepat dan tepat menggunakan faktor komprehensif termasuk kemahiran, kecekapan, pengetahuan, kelayakan akademik, pensijilan profesional, lokasi dan banyak lagi,” menurut kenyataan itu.

Ia sempena 2020 World Association of Public Employment Services (WAPES) Persidangan Rantau Asia Pasifik yang dianjurkan oleh Perkeso, WAPES dan Korea Employment Information Service (KEIS).

Persidangan sehari berlangsung secara maya hari ini, bertemakan ‘Mengutarakan Kesan Covid-19 terhadap Pasaran Buruh’, merangkumi strategi mendorong pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan dalam sektor rasmi.

Persidangan itu dihadiri peserta dari Eropah, Afrika dan Asia Pasifik memfokuskan kaedah menangani krisis Covid-19 terhadap pekerjaan.

-BERNAMA

 


Pengarang :