Air Selangor merupakan pembekal tunggal perkhidmatan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Lebih 70 peratus kawasan terjejas terima bekalan air

SHAH ALAM, 12 NOV: Sejumlah 76 peratus kawasan iaitu 977 lokasi yang terjejas akibat henti tugas empat Loji Rawatan Air (LRA) pada Selasa menerima bekalan air sepenuhnya setakat jam 9 pagi tadi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan 302 lagi lokasi terjejas masih dalam proses pemulihan.

“Kuala Selangor merekodkan pemulihan bekalan air tertinggi dengan 99 peratus, diikuti Hulu Selangor (91 peratus), Petaling (85 peratus), Kuala Langat (80 peratus) dan Kuala Lumpur (79 peratus).

“Bagi Gombak jumlah pemulihan ialah 57 peratus dan Klang/Shah Alam sebanyak 52 peratus,” kata agensi menerusi Facebook hari ini.

Air Selangor turut menasihatkan supaya orang ramai menggunakan air secara berhemah bagi memastikan proses pemulihan bekalan berjalan lancar seperti dijadualkan.

Status pemulihan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook dan Instagram serta laman sesawang http://www.airselangor.com.

Pada 10 November, LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas berikutan pencemaran bau dikesan di Sungai Selangor sekali gus menjejaskan lebih 1.1 juta akaun pengguna.


Pengarang :