Kaji selidik Persatuan Hotel Malaysia menunjukkan tempahan bilik hotel merudum ke tahap membimbangkan, sehingga hanya 35 peratus pada minggu pertama Oktober, 30 peratus pada minggu kedua dan hanya 20 peratus pada minggu akhir Oktober. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

Lebih 90,000 pekerja carum SIP henti kerja setakat 13 Nov

KUALA LUMPUR, 24 NOV: Sejumlah 95,995 pekerja yang mencarum di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) diberhentikan kerja setakat 13 November lepas, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan berkata daripada jumlah itu 40,766 adalah dalam kalangan mereka terlibat dengan sektor penerbangan, perhotelan dan pelancongan.

“Sehingga kini, RM110 juta diluluskan untuk pembayaran kepada pemohon SIP daripada sektor itu… jika terdapat sebarang kes kegagalan pembayaran SIP, sila berjumpa terus dengan saya supaya tindakan sewajarnya boleh diambil,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021.

Sementara itu, Saravanan berkata kerajaan menyasarkan 500,000 peluang pekerjaan dapat diwujudkan dalam usaha kerajaan mengatasi pengangguran melalui Skim Jaminan Penjanaan Pekerjaan (JanaKerja) seperti dicadangkan dalam Belanjawan 2021 dengan peruntukan RM3.7 bilion.

“Untuk mencapai sasaran ini, tiga inisiatif di bawah Skim JanaKerja dirancang yang mana dua inisiatif dipertanggungjawabkan kepada Kementerian Sumber Manusia, iaitu Insentif Penjana Kerjaya di bawah Perkeso; dan Program Reskilling dan Upskilling di bawah Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) dan lain-lain kementerian.

“…Program peningkatan kemahiran dan latihan semula disediakan di bawah Perkeso dan PSMB dijangka boleh mengurangkan jurang kemahiran terutamanya dalam bidang kemahiran digitalisasi dan kemahiran lain berpandukan perkembangan Revolusi Industri 4.0,” katanya.

-BERNAMA

 


Pengarang :