Selangorkini
AGENDA SUKANKINI

LTdL 2021 batal, anjur semula pada 2022

KUALA LUMPUR, 17 NOV: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mengesahkan perlumbaan Le Tour de Langkawi 2021 (LTdL 2021) dibatalkan dan akan dianjurkan semula pada 2022.

Presiden PKBM Datuk Abu Samah Wahab percaya keputusan untuk membatalkan LTdL 2021 dan menganjurkannya pada 2022 adalah satu tindakan pragmatik yang bersesuaian dengan keadaan pandemik Covid-19 yang melanda dunia kini.

“Ada banyak perkara yang mesti difikirkan oleh semua pihak termasuk PKBM dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Saya percaya Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) akan menerima penjelasan kami kerana ia dicapai dan diputuskan berdasarkan suasana yang sangat mendesak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abu Samah menjelaskan PKBM selaku pemegang hak penganjuran LTdL akan memberi penjelasan terperinci kepada UCI dengan kadar segera bagi memudahkan pasukan yang menerima jemputan untuk membuat tindakan susulan.

Keputusan untuk membatalkan perlumbaan berbasikal paling elit di benua Asia itu dicapai secara sebulat suara ketika mesyuarat khas melibatkan beberapa pihak termasuk KBS, pada Isnin.

“Keputusan ini dicapai memandangkan kesuntukan masa untuk semua pihak melakukan persiapan rapi ekoran pandemik Covid-19 yang melanda dunia sejak awal tahun ini. Apatah lagi keputusan untuk membatalkan Sukan Malaysia (Sukma) Johor juga telah dibuat.

“Jadi, adalah lebih baik kalau keputusan untuk membatalkan LTdL 2021 turut dilakukan. Saya harap keputusan ini baik untuk semua pihak,” katanya.

Abu Samah yang juga naib presiden kehormat Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) turut mendedahkan ada percubaan oleh pihak tertentu untuk menganjurkan LTdL 2021 pada September tahun hadapan, namun ia tidak berjaya mendapatkan tarikh penganjuran bersesuaian daripada UCI.

Hal itu kerana Jelajah Malaysia 2021 juga akan diadakan pada September tahun hadapan, jadi agak mustahil menganjurkan LTdL 2021 pada September tahun depan ekoran kesukaran untuk mendapatkan penyertaan pasukan elit dunia.

-BERNAMA


Pengarang :