Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Lembangan Sungai dan Pantai Lembaga Urus Air Selangor (Luas), Haslina Amer bercakap ketika Program Bual Bicara Pencemaran Air: Siapa Buat Onar? di Studio Media Selangor, Menara Bank Rakyat Shah Alam pada 23 November 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Luas: Sampel air diambil setiap dua jam kesan cemar di sungai

SHAH ALAM, 24 NOV: Lembaga Urus Air Selangor (Luas) mengambil pensampelan air setiap dua jam di kawasan lembangan dan anak sungai bagi mengesan pencemaran air atau bau.

Ketua penolong pengarah Bahagian Pengurusan Lembangan Sungai dan Pantai Luas berkata proses tersebut dan pemantauan berterusan dijalankan skuad Pantas dalam Ops Statik selain rondaan bersama dengan agensi lain di kawasan berisiko berlaku insiden terbabit.

“Kita ada tujuh lembangan sungai tetapi pemantauan lebih kerap dilakukan di lembangan Sungai Selangor dan Sungai Langat kerana ia kawasan paling kritikal.

“Skuad Pantas dapat melihat secara terperinci kerana kedua-dua lembangan sungai ini mempunyai banyak anak sungai. Contohnya, Sungai Gong anak kepada Sungai Sembah sebelum masuk ke Sungai Selangor,” kata Haslina Amer pada program bual bicara Pencemaran Air: Siapa Buat Onar? yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Media Selangor malam tadi.

Dalam pada itu, beliau mengakui pencemaran bau antara cabaran terbesar perlu dihadapi ketika ini namun penubuhan Skuad Pantas diyakini mampu memperkukuh pemantauan sekali gus memastikan sumber air terpelihara.

“Dominasi pencemaran sungai adalah berpunca daripada bau kerana ia sangat subjektif malah hidung manusia juga berbeza untuk mengesan bau tersebut,” katanya.

Pada 30 Oktober lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM200 juta untuk mengatasi isu pencemaran air mentah melalui pelaksanaan empat projek.

Peruntukan Belanjawan 2021 meliputi projek perintis rawatan biologikal bagi pemuliharaan kualiti air Sungai Gong serta pemantauan dan pengawasan 24 jam melalui skuad Pantas di kawasan sensitif sumber air.

Selain itu, ia bagi menambah bilangan stesen telemteri kualiti air sebagai sistem amaran awal di hulu muka sauk berisiko dan projek pengepaman air mentah kolam takungan Sistem Peningkatan Hibrid Pinggir Sungai (HORAS) 600 di Sungai Selangor serta Sungai Semenyih.


Pengarang :