Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor Saipolyazan Mat Yusop memberikan penerangan ketika sidang media diadakan di Bangunan Zakat Selangor, Shah Alam pada 23 November 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

LZS bantu 5,000 pekerja syarikat terjejas pendapatan

SHAH ALAM, 24 NOV: Lembaga Zakat Selangor (LZS) bakal menyalur bantuan khas kepada 5,000 pekerja syarikat terkesan akibat Covid-19.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata mereka terdiri dalam kalangan pekerja syarikat yang pernah membayar zakat perniagaan kepada agensi tersebut.

“LZS sudah menerima 5,000 nama individu setakat ini dan kita sedang menyemak status mereka sama ada layak menerima bantuan atau sebaliknya.

“Sekiranya layak, LZS menyalur bantuan RM500 sebulan selama tiga hingga enam bulan dan diharap meringankan beban pekerja yang dipotong gaji atau hilang pendapatan sepenuhnya,” kata Saipolyazan M Yusop pada sidang media di Pejabat LZS Presint ALAMi Seksyen 13 semalam.

Beliau berkata langkah LZS membantu pekerja tersebut sebagai menghargai komitmen majikan mereka yang membayar zakat pada setiap tahun.

“Sebelum ini syarikat tempat mereka bekerja bayar zakat dan hasil kutipan kita guna untuk tolong orang lain, jadi apa salahnya sekarang kita bantu mereka pula,” katanya.

Pada 15 September Saipolyazan berkata LZS memperuntuk RM1 juta untuk membantu pekerja syarikat terkesan akibat pelaksanaan PKP.

Selain itu LZS juga bekerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi golongan terjejas pendapatan mendapatkan perlindungan sosial yang menyeluruh.


Pengarang :