Keadaan Khairullah Mahmod yang terlantar akibat kemalangan jalan raya tiga bulan lalu di Hospital Shah Alam. Foto Facebook Lembaga Zakat Selangor
AGENSISELANGOR

LZS sumbang katil, bantu mangsa kemalangan

SHAH ALAM, 18 NOV: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyumbang katil pesakit kepada seorang asnaf fakir dan miskin, Khairullah Mahmod yang terlantar akibat kemalangan jalan raya tiga bulan lalu.

Menurut agensi tu Khairullah, 53, masih berada di Hospital Shah Alam dan belum boleh pulang berikutan kelengkapan yang tidak mencukupi di rumah.

“LZS difahamkan keadaan beliau (Khairullah) sudah stabil namun tidak dibenarkan pulang selagi tiada kemudahan seperti katil pesakit dan beberapa kelengkapan lain.

“Justeru, LZS terpanggil untuk menghulurkan kelengkapan itu termasuk menguruskan bantuan kewangan bulanan dan makanan mulai bulan ini,” maklum LZS di Facebook.

Khairullah menetap di Tanjong Karang bersama isteri dan dua anak. Difahamkan beliau sebelum ini bekerja sebagai buruh kampung manakala isteri berniaga kuih.

LZS mengalu-alukan orang ramai untuk terus membayar zakat dan berterima kasih kepada pembayar zakat di negeri ini di atas bantuan.

 


Pengarang :