AGENDANASIONALPELANCONGAN

MATA minta agihan peruntukan tambahan RM200 juta Motac disegera

KUALA LUMPUR, 14 NOV: Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) berharap Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) dapat menyegerakan agihan peruntukan tambahan RM200 juta di bawah Pelan Pemulihan Pelancongan untuk 2021 yang diumumkan kementerian itu semalam.

Sambil meluahkan kelegaan atas peruntukan tambahan itu, Presiden MATA Datuk Mohd Khalid Harun berkata ini kerana peruntukan yang diumumkan menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) sebelum ini masih belum dibelanja.

“Kami (MATA) berasa agak lega sedikit selepas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri memberitahu beliau berjaya mendapatkan peruntukan tambahan itu.

“Demi kelangsungan industri pelancongan, kami harap Motac bangkit dan bersama merasakan nadi kesengsaraan penggiat industri pelancongan ketika ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Nancy mengumumkan peruntukan tambahan itu diberikan kepada Mota bagi pelaksanaan pakej rangsangan di bawah Pelan Pemulihan Pelancongan untuk tahun depan, selain daripada belanjawan yang dibentangkan di Parlimen pada 6 November lepas.

Nancy semasa mempengerusikan sesi libat urus bersama penggiat industri pelancongan dan kebudayaan secara dalam talian semalam, berkata pelaksanaan pakej rangsangan tersebut termasuk baucar penginapan, diskaun destinasi pelancongan, diskaun pakej pelancongan keluarga serta penyemarakkan seni dan budaya.

-BERNAMA

 


Pengarang :