Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan sumbangan kepada mangsa bencana ketika program lawatan pasca banjir di Dewan Batu 16, Hulu Langat pada 7 November 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

MB: 282 mangsa banjir Hulu Langat terima bantuan makanan

HULU LANGAT, 7 NOV: Seramai 282 mangsa banjir di Kampung Batu 16 di sini, menerima bakul makanan disumbangkan sukarelawan Team Selangor.

Dato’ Menteri Besar berkata bantuan makanan kering seperti beras, mi segera, sardin dan biskut termasuk pelitup muka serta cecair pembasmi kuman bertujuan meringankan beban penduduk yang terjejas.

“Agihan bantuan oleh Team Selangor dan dibantu Penggerak Belia Tempatan (PeBT) dibuat secara berperingkat bermula hari ini. Insya-Allah dalam masa dua atau tiga hari lagi segala proses kepada semua penduduk dijangka selesai.

“Kita juga sedang fikir untuk menyalurkan bantuan sama di tempat lain yang terjejas,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari kepada media selepas menyampaikan bakul makanan kepada 10 penduduk sebagai simbolik agihan sumbangan di Dewan Batu 16 di sini hari ini.

Terdahulu, beliau yang mengadakan lawatan pasca banjir di daerah ini mengunjungi Kolam Air Panas Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Batu 16 bagi meninjau kerja pembersihan dijalankan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pada 4 November lalu, lebih 400 rumah di 10 kampung di Hulu Langat ‘lumpuh’ akibat banjir susulan hujan lebat selama hampir lima jam.

Kampung terlibat ialah Kampung Batu 16, Kampung Sungai Serai, Kampung Kuala Perdik, Kampung Batu 14, Kampung Batu 18, Kampung Batu 20 Sungai Lui, Kampung Batu 17, Kampung Dusun Nanding, Kampung Batu 13 dan Kampung Lubuk Kelubi.


Pengarang :