Pekerja Indah Water Konsortium melihat lokasi disyaki menyebabkan pencemaran bau Sungai Selangor di loji kumbahan Taman Velox, Rawang pada 10 November 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB anggap pencemar sungai ‘musuh’ utama, sengaja calar imej negeri

SHAH ALAM, 12 NOV: Dato’ Menteri Besar menganggap pencemar sumber air mentah negeri ini sebagai “musuh” utama yang cuba menjatuhkan imej Kerajaan Selangor.

Dato’ Seri Amirudin Shari menegaskan pihaknya tidak akan sesekali tunduk, sebaliknya berazam terus meningkatkan usaha bagi mengatasi isu berkenaan.

“Sekarang pencemar sungai adalah musuh pertama saya. Mereka menyangka dengan kaedah ini (mencemarkan sungai) boleh melunturkan imej Kerajaan Negeri.

“Kita akan terus melawan pihak tidak bertanggungjawab dan meningkatkan usaha kawalan,” katanya selepas melancarkan Program Pembangunan Usahawan India Selangor Yayasan Hijrah Selangor di sini hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari pada sidang media Program Pembangunan Usahawan India Selangor (Sitham) Yayasan Hijrah di Bilik MTES SUK, Shah Alam pada 12 November 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Amirudin berkata Kerajaan Negeri akan menggunakan dron bagi memantau lokasi sumber air mentah untuk mengelakkan pencerobohan.

Pihaknya turut mempertimbangkan penggunaan teknologi bagi menyekat air tercemar di sungai dan menyalurkan bekalan melalui beberapa kolam takungan lain.

“Kita percaya hal ini (pencemaran) dapat ditangani secara menyeluruh dalam tempoh 15 hingga 18 bulan melalui peruntukan RM200 juta dalam Belanjawan 2021,” katanya lagi.

Pada 10 November, Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas susulan pencemaran bau seakan pelarut dikesan di Sungai Selangor.

Bahan tersebut dipercayai dilepaskan daripada lurang kumbahan premis perindustrian yang mengalir ke loji rawatan kumbahan Indah Water Konsortium di Taman Velox, Rawang.


Pengarang :