Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media sempena program lawatan pasca banjir di Hulu Langat pada 7 November 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

MB: Belanja mengurus lebih 70 peratus tidak tepati aspirasi rakyat

HULU LANGAT, 7 NOV: Peruntukan lebih 70 peratus bagi perbelanjaan mengurus dalam Belanjawan 2021 disifatkan tidak bertepatan dengan aspirasi rakyat yang mahukan lonjakan pemulihan ekonomi.

Dato’ Menteri Besar berkata belanjawan dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz semalam tidak memberi respon kepada beberapa isu dibangkitkan rakyat dan berbeza dengan Belanjawan Selangor 2021 memperuntukkan 47 peratus bagi aspek pembangunan.

“Sebaliknya di peringkat Persekutuan, mereka meletakkan hanya 21 peratus untuk tujuan tersebut dan selebihnya bagi perbelanjaan mengurus.

“Justeru, di samping kritikan wakil pembangkang dalam sidang Dewan Negeri Selangor, kita melihat belanjawan Persekutuan tidak menterjemahkan perkara berhubung pemulihan ekonomi,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari kepada media selepas program lawatan pasca banjir di Taman Sri Nanding di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau melihat tiada peruntukan khusus bagi sektor aeroangkasa di Selangor yang seharusnya diberi tumpuan kerana ia menjanjikan peluang pekerjaan kepada rakyat.

Menurutnya, peruntukan tersebut penting bagi meningkatkan kedayatahanan industri berkenaan yang ketika ini berdepan situasi sukar akibat penularan pandemik Covid-19.

“Kita sememangnya memerlukan sokongan untuk sektor tersebut kerana melibatkan tenaga kerja yang ramai malah menjadi kegiatan penting kepada negara amnya dan Selangor khususnya.

“Saya perlu lihat kembali apakah ada sokongan kepada sektor ini supaya mereka (penggiat industri) mampu bertahan dan keluar daripada masalah kemelesetan akibat Covid-19,” katanya.

Semalam, Tengku Zafrul mengumumkan RM322.5 bilion atau 20.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diperuntukkan dalam Belanjawan 2021.

Daripada jumlah itu, RM236.5 billion (73.3 peratus) adalah untuk perbelanjaan mengurus dan RM69 billion (21.4 peratus) bagi perbelanjaan pembangunan manakala baki RM17 bilion untuk Kumpulan Wang Covid-19.


Pengarang :