Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar dengan hiasan kolam sempena sambutan Deepavali selepas Sidang Media Program Pembangunan Usahawan India Selangor (SITHAM) Yayasan Hijrah di Bilik MTES SUK, Shah Alam pada 12 November 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB: E-Bazar Deepavali tarik minat 300 usahawan India

SHAH ALAM, 12 NOV: Seramai 300 usahawan India menyertai program e-Bazar Deepavali bagi memasarkan produk secara dalam talian sejak 1 November lalu, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif dengan kerjasama rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec), KoHijrah Mall dan Meniaga.my membantu menjana pendapatan usahawan sempena perayaan.

“Bazar Deepavali merupakan aktiviti simbolik yang diwujudkan bagi membantu usahawan India menjual produk sempena perayaan, namun akitiviti bazar secara fizikal tidak dapat dijalankan tahun ini berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Justeru, Kerajaan Negeri melancarkan inisiatif e-Bazar Deepavali bagi memberi rangkaian pemasaran lebih luas kepada usahawan terlibat melalui platform yang disediakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Program Pembangunan Usahawan India Selangor (Sitham) Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) di Bangunan SUK hari ini.

Amirudin turut berharap pendekatan itu disambut baik oleh usahawan terbabit khususnya dalam mendepani situasi ekonomi yang mencabar ketika ini susulan pandemik Covid-19.

Sitham adalah program di bawah Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan yang dipengerusikan EXCO Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail dan dilaksanakan Hijrah Selangor.

Salah satu komponen program ini adalah penganjuran Bazar Deepavali yang diadakan saban tahun dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT).


Pengarang :