Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menandatangani plak penyerahan geran peralatan pada Program Pembangunan Usahawan India Selangor (SITHAM) Yayasan Hijrah di Perkarangan Bangunan SUK, Shah Alam pada 12 November 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

MB: Geran peralatan Sitham bantu 175 usahawan kembang niaga

SHAH ALAM, 12 NOV: Kerajaan Negeri meluluskan 175 permohonan geran peralatan program Pembangunan Usahawan India Selangor (Sitham) fasa pertama tahun ini membabitkan peruntukan RM557,991.66.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pemberian peralatan dengan nilai maksimum RM10,000 bagi setiap permohonan yang layak membantu usahawan memajukan perniagaan mereka.

“Geran peralatan merupakan aspek utama program Sitham kepada usahawan India yang berniaga lebih enam bulan. Sitham menjalankan siasatan dengan ketua komuniti kaum India bagi memilih usahawan benar-benar layak menerima manfaat ini.

“Kita sebenarnya menyaring lebih 2,000 pemohon sejak permohonan dibuka dan mempergiat promosi di peringkat bawahan namun kita melihat kepada keutamaan serta potensi perniagaan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Sitham Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) di Bangunan SUK hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin berkata seramai tujuh usahawan dikenal pasti berpotensi untuk diangkat sebagai ikon melalui program dana usahawan Selangor dengan geran bernilai antara RM20,000 hingga RM30,000.

Selain itu, katanya, seramai 12 usahawan dikenal pasti untuk menjadi ikon usahawan India Sitham di daerah masing-masing.

“Kerajaan Negeri berharap pemberian geran peralatan dapat membantu usahawan menambah produktiviti dan penjualan mereka,” katanya lagi.

 


Pengarang :