Dato’ Seri Amirudin Shari bersama pelitup muka untuk diedarkan sempena pelancaran 16 Hari Aktivisme Melawan Keganasan Berdasarkan Gender di Foyer SUK, Shah Alam pada 25 November 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

MB: Hentikan keganasan terhadap wanita, perkukuh institusi keluarga

SHAH ALAM, 25 NOV: Kesedaran menghentikan keganasan terhadap wanita tidak seharusnya terhenti melalui kempen 16 hari aktivisme sahaja sebaliknya perlu diteruskan sehingga menjadi kebiasaan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata masyarakat perlu prihatin bahawa keganasan perbuatan salah dan tidak sepatutnya menimpa sesiapa.

“Kempen 16 hari ini merupakan satu momentum untuk memberi isyarat bahawa keganasan terhadap wanita adalah bentuk perlakuan yang tidak seharusnya berlaku.

“Kerajaan Negeri akan terus menyokong dan mengalu-alukan kerjasama semua pihak untuk bersama dalam kempen 16 Hari kerana masalah sosial ini terjadi pada semua peringkat masyarakat tanpa mengira bangsa, kelas serta status ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Kempen 16 Hari Aktivisme Menangani Keganasan Berasaskan Gender Peringkat Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini.

Amirudin menambah setiap institusi keluarga berhadapan dengan pelbagai ujian dalam mempertahankan keutuhannya dan memerlukan ekosistem sokongan kuat daripada masyarakat serta undang-undang.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor sebelum ini memaklumkan isu keganasan rumah tangga di negeri ini mencatat peningkatan sebanyak 80 peratus dengan 254 kes antara Januari hingga Oktober lalu.

Menurut statistik Unit Perundangan dan Penguatkuasaan, kes tertinggi direkodkan di Hulu Langat (70 kes), Gombak (34 kes), Subang Jaya (34 kes), Klang (29 kes) dan kawasan lain (90 kes).


Pengarang :