AGENSISELANGOR

MB jangka hutang Unisel selesai tahun depan

SHAH ALAM, 5 NOV: Universiti Selangor (Unisel) dijangka dapat melangsaikan semua hutang pada Jun tahun depan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebanyak RM83 juta pinjaman diberi kepada insitusi pengajian itu bagi memulihkan kedudukan kewangannya.

“Pinjaman disalurkan tiga kali bermula 2007 sebanyak RM36.7 juta, 2014 (RM3.1 juta) dan 2017 (RM44 juta) untuk membayar pelbagai tanggungan hutang lain.

“Selain itu, geran langsung turut diberikan dan kita yakin proses pemulihan ini berjaya mengikut perancangan,” katanya ketika ucapan penggulungan pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pembangkang DNS Rizam Ismail pada sesi perbahasan semalam yang mendakwa Kerajaan Negeri gagal membantu Unisel memulihkan kedudukan kewangan.

Amirudin berkata sebaik sahaja bebas hutang, Unisel bakal memiliki aset lebih 1,000 ekar tanah di Bestari Jaya dan Dengkil.

“Kerajaan Negeri sentiasa memantau perkembangan institut pendidikan di bawahnya, malah kita ada tabung pinjaman kepada anak syarikat,” katanya lagi.


Pengarang :