Pengunjung diwajibkan melakukan imbasan kod QR menggunakan sistem SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) sebelum memasuki medan selera di pusat membeli-belah Aeon, Shah Alam pada 12 Jun 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
SELANGOR

MB: Kes baharu Covid-19 meningkat, terus patuhi SOP

SHAH ALAM, 24 NOV: Dato’ Menteri Besar meminta orang ramai berwaspada dan terus patuhi tatacara operasi piawai (SOP) susulan kes peningkatan Covid-19 yang semakin membimbangkan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pemilik premis juga perlu sentiasa menyediakan kemudahan 3S iaitu sanitasi tangan, suhu diperiksa dan kod imbasan SELangkah bagi memudahkan pengunjung.

“Dengan peningkatan kembali kes baharu Covid-19 di Selangor dan Malaysia, kita harus lebih berwaspada dan mengambil tindakan agar rangkaian jangkitan dapat diturunkan. Pemilik premis harus memaklumkan para pengunjung mereka mengenai SOP ditetapkan agar kesejahteraan terjamin.

“Penyediaan cecair sanitasi, termometer untuk mengimbas suhu dan kod QR SELangkah wajib disediakan. Bersama kita mampu putuskan rangkaian jangkitan Covid-19,” katanya menerusi Twitter.

Hari ini Selangor mencatatkan kes Covid-19 tertinggi iaitu 1,623 membabitkan 74.2 peratus daripada keseluruhan bilangan 2,128 kes direkodkan di seluruh negara.

Kes tertinggi itu dikesan daripada Kluster Teratai berkait pekerja kilang Top Glove dengan mencatatkan 1,522 kes iaitu 93.1 peratus jumlah keseluruhan kes di Selangor.

Malaysia merekodkan kes baharu harian tertinggi hari ini iaitu 2,188 berbanding 1,884 semalam.


Pengarang :