Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika majlis penyerahan cek cura kepada Surau Al Mukmin Mutiara Gombak, Gombak pada 28 November 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

MB: Laman santai selebriti bantu artis terjejas Covid-19

GOMBAK, 29 NOV: Laman Santai Selebriti Kabin 8 diadakan bagi meringankan beban artis yang terkesan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dato’ Menteri Besar berkata laman itu adalah hasil inisiatif Jawatankuasa Penduduk (JKP) Zon 8 Majlis Perbandaran Selayang (MPS) bagi membantu golongan berkaitan.

“Saya menyambut baik usaha penduduk sini dan beberapa artis lama yang rata-ratanya terjejas berikutan pandemik Covid-19.

“Justeru, saya harap laman ini dapat meringankan beban mereka dan peniaga lain yang berniaga di sini,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika ditemui selepas majlis pelancaran Program Sumbangan Kabin JKP 8 di Laman Santai Selebriti di sini malam tadi.

Menurutnya, beliau juga bercadang mahu membantu artis yang terkesan sama ada menerusi bidang seni atau dalam bidang perniagaan dan perkara itu akan dibincangkan selepas ini.

Laman Santai Selebriti Kabin 8 dibuka setiap hujung minggu mulai jam 4 petang hingga 12 tengah malam dan kini sudah mula operasi lebih dua bulan.

Lebih 20 gerai termasuk 10 terdiri daripada perniagaan golongan artis lama yang menjual pelbagai jenis jualan seperti makanan, minuman, minyak wangi dan pakaian.


Pengarang :