Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan sumbangan barangan asas kepada mangsa banjir Nor Asyura Nordin, 34, ketika lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Sungai Serai, Hulu Langat pada 4 November 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Lebih RM2 juta bantu mangsa bencana sepanjang tahun

SHAH ALAM, 5 NOV: Sebanyak RM2.03 juta disalurkan kepada mangsa bencana seluruh negeri sepanjang tahun ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sumbangan tertinggi berjumlah RM1.68 juta membabitkan mangsa banjir Hulu Selangor, Kuala Selangor, Klang, Petaling, Gombak, Sepang dan Hulu Langat.

Beliau berkata ia disusuli dana bencana ribut sebanyak RM230,107, banjir kilat (RM98,750), kebakaran (RM23,703) dan tanah runtuh (RM500).

Dato’ Seri Amirudin Shari ketika sesi soal jawab sempena persidangan Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 5 November 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Kerajaan Negeri menerusi Unit Pengurusan Bencana turut mengambil beberapa langkah bagi memastikan bantuan kewangan disampaikan kepada mangsa dengan segera.

“Ia termasuk mengurangkan birokrasi permohonan iaitu mangsa hanya perlu membawa kad pengenalan, laporan polis dan laporan bergambar dengan pengesahan daripada penghulu atau ketua kampung,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Sungai Ramal Mazwan Johar pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Sementara itu, Amirudin yang juga wakil rakyat Sungai Tua berkata permohonan dan penyerahan bantuan kepada mangsa mengambil masa tiga hari.

“Bagaimanapun, ia bergantung kepada skala bencana dan bilangan keluarga mangsa yang terlibat,” kata beliau lagi.


Pengarang :