Petugas Air Selangor menimba air untuk memeriksa kualitinya di muka sauk Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2, Kuala Selangor pada 19 Oktober 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

MB: Nanoteknologi atasi masalah pencemaran bau air mentah

SHAH ALAM, 4 NOV: Sistem nanoteknologi, Aquaritin digunakan bagi menyelesaikan masalah pencemaran bau sumber air mentah di negeri ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata melalui teknologi itu beberapa bahan khas dilepaskan ke kawasan tercemar untuk bertindak balas menguraikan bau busuk sekali gus menghilangkan pencemaran.

“Pada 2009, 2010, 2011 masalah kita adalah Loji Rawatan Air (LRA) beroperasi lebih dari kapasiti hingga berlaku kerosakan loji. Pada 2012, 2013 isu kita adalah kemarau dan kurang air mentah.

“Sekarang air mentah kita dapat kawal guna HORAS (Projek Hybrid off River Augmentation System) tapi ada masalah pencemaran kerap berulang. Jadi ini langkah kita atasi masalah ini,” katanya dalam program temu bual bersama Astro Awani malam tadi.

Amirudin menjelaskan beberapa tindakan sudah dilakukan bagi mengatasi masalah itu antaranya naik taraf loji, pembinaan projek pembangunan LRA Labohan Dagang dan akan datang memfokuskan projek LRA Sungai Rasau dan Langat 2.

“Sekarang kita tumpu bagaimana mahu pastikan air tetap boleh diproses walaupun berlaku pencemaran selain elakkan ia masuk ke muka sauk dan LRA.

“Pengalaman setahun dua ini, pencemaran paling lama adalah 48 jam atau dua hari. Jadi selepas bertindak balas dengan ozon, oksigen, faktor persekitaran dan bau itu mengurai sendiri,” katanya.

Dalam Belanjawan Selangor 2021, Kerajaan Selangor memperuntuk RM200 juta bagi membendung masalah pencemaran air menerusi empat projek dan dijangka siap dalam tempoh 18 bulan.


Pengarang :