Dato’ Seri Amirudin Shari mendengar taklimat disampaikan Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor, Ir SV Kalaiselvam di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) banjir di Sekolah Kebangsaan Sungai Serai, Hulu Langat pada 4 November 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB: Projek tebatan banjir tahan 100 tahun elak kejadian berulang

HULU LANGAT, 4 NOV: Kerajaan Negeri merangka pelan Projek Tebatan Banjir (RTB) bagi jangka masa panjang sehingga 100 tahun  bagi mengatasi masalah banjir.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ia termasuk pembesaran Sungai Langat bertujuan menampung kapasiti air sekali gus mengelak banjir berulang.

“Dalam sidang dewan negeri tadi, kita nyatakan bahawa selepas ini perancangan kita bukan lagi 50 tahun, tetapi akan dipanjangkan ke 100 tahun.

“Maknanya dalam tempoh 100 tahun kita mahu mengelakkan banjir (dan) projek ini mampu tampung kapasiti air selama tempoh itu,” kata Dato’ Menteri Besar ditemui selepas meninjau mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Serai hari ini.

Beliau berkata banjir kilat di sekitar Hulu Langat malam tadi berpunca daripada hujan yang turun pada kadar 164 milimeter (mm), melebihi kapasiti Sungai Langat.

Katanya limpahan air dari Empangan Langat juga mengakibatkan beberapa kawasan di sepanjang Sungai Langat ditenggelami air.

“Kita percaya masalah ini berlaku disebabkan kadar turun hujan yang tinggi dan kali terakhir kadar tersebut (164 mm) adalah pada 2010. Jadi, ia tertinggi dalam tempoh 10 tahun lalu.

“Sungai Langat berkapasiti sekitar 85-90 mm dan sudah pasti ia melimpah seterusnya menyebabkan banjir di kawasan berkaitan,” katanya.

 

 


Pengarang :