AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Raikan Deepavali dalam normal baharu

SHAH ALAM, 14 NOV: Dato’ Menteri Besar menggunakan pendekatan berbeza dalam meraikan kemeriahan Deepavali tahun ini berikutan negara masih bergelut dengan pandemik Covid-19.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kemeriahan itu disambut dengan mengutuskan ucapan melalui aplikasi Whatsapp dan video sebagai menggantikan aktiviti menziarahi rumah kenalannya di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua seperti kelaziman dilakukan sebelum ini.

“Saya percaya ianya juga sama untuk anda yang mungkin tidak berpeluang bertegur sapa dan menyambut perayaan ini dengan keluarga serta rakan taulan disebabkan pelbagai jenis kawalan pergerakan di hampir seluruh negara.

“Namun saya yakin kepentingan perayaan Deepavali ataupun Diwali tetap akan disambut dengan cara tersendiri yang kita anggap sebagai suatu realiti baharu pada 2020 yang amat unik,” katanya menerusi perutusan Deepavali hari ini.

Beliau turut mengajak penganut Hindu mengimbau riwayat kepulangan kembali Dewa Rama ke Ayodhya dengan pelbagai jenis lampu setelah berusaha hampir 14 tahun dalam perjuangannya.

Katanya kisah kejayaan Dewa Rama ke atas Ravana wajar ditelusuri kerana mempunyai persamaan kepada situasi yang sedang dihadapi ketika ini.

“Deepavali pada asasnya adalah perayaan lampu berasal daripada perkataan ‘deep’ yang bermaksud lampu dan ‘avali’ (barisan).

“Deepavali juga membawa makna lebih mendalam iaitu kemenangan cahaya mengatasi kegelapan, kejayaan kebaikan mengatasi keburukan serta kekuatan harapan dan ilmu mengatasi kejahilan,” katanya.

Amirudin turut mengucapkan selamat menyambut Deepavali kepada seluruh rakyat Selangor, khususnya kepada masyarakat beragama Hindu dan Sikh.


Pengarang :