Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan sumbangan kepada penduduk ketika Program Ramah Mesra Kampung Sungai Salak, Gombak pada 28 November 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

MB: RM500,000 bina jambatan, lancar pergerakan penduduk kampung

GOMBAK, 28 NOV: Kerajaan Negeri menyalur peruntukan RM500,000 bagi pembinaan Jambatan Kampung Sungai Salak Batu 10 di sini untuk melancarkan pergerakan masyarakat setempat.

Dato’ Menteri Besar berkata projek pembinaan dijangka bermula awal Januari tahun hadapan bakal menamatkan penantian 13 tahun penduduk yang memerlukan kemudahan tersebut.

“Pembinaan ini mengambil masa dua atau tiga bulan dan boleh digunakan seawal penggal pertama tahun hadapan yang akan memanfaatkan lebih 3,000 penduduk.

“Jambatan dianggar sepanjang 48 meter boleh dilalui dua kenderaan sekali gus mengurangkan isu kesesakan dihadapi penduduk,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari pada majlis ramah mesra bersama penduduk kampung terbabit dan merasmikan laman Lea’Stari Aur D’Air di sini hari ini.

Ahli Dewan Negeri Sungai Tua berkata jambatan itu tertangguh berikutan timbul beberapa isu teknikal dan diselesaikan apabila dibawa ke pengetahuannya.

“Saya terus bawa masalah ini kepada Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Gombak yang dimuktamadkan sebelum pembentangan Belanjawan Selangor 2021 lalu.

“Walaupun ia (Kampung Sungai Salak Batu 10) bukan kawasan saya tetapi warga Gombak adalah sebahagian daripada jiwa saya. Justeru, diharapkan masyarakat dapat menjaganya dengan baik demi manfaat bersama,” katanya.


Pengarang :